Tuesday 11 November 2014

Sahihkah Hadis Yang Menyatakan Bau Kanak-Kanak Adalah Dari Syurga?

Bau Kanak-Kanak Adalah Dari Syurga
Tersebar di alam maya hadis yang disandarkan kepada Nabi sallallah alaih wasallam dengan lafaz berikut:
Bau mulut atau tubuh anak-anak adalah sebahagian dari angin syurga”
Status Hadis
Saya tidak menjumpai hadis dengan lafaz seperti ini dalam kitab-kitab hadis. Sebaliknya saya menjumpai hadis yang lafaznya hampir sama dengan hadis ini iaitu hadis:
ريح الولد من ريح الجنة
Maksudnya: Bau anak daripada bau syurga.
 Hadis inidiriwayatkan dari 3 sanad utama. Berikut keterangannya:
1.      Sanad Aisyah:
Hadis ini diriwayatkan dari Aisyah melalui 2 jalur:

i.                    Jalur ‘Amrah: Hadis ini diriwayatkan dari Aisyah dengan lafaz yang sama. Cuma hadis ini dinilai cacat (ma’lul) oleh Ibn ‘Adiyy.[1] Ini kerana dalam sanadnya terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Abdul Malik al-Ansari. Ibn ‘Adiyy dan Muhammad bin Tahir al-Maqdisi menilai beliau terlalu daif (matruk) kerana selalu menyanggahi riwayat perawi yang tsiqah (dipercayai dan kuat ingatannya).[2]
ii.                  Jalur 'Urwah: Jalur ini juga dinilai cacat oleh Ibn ‘Adiyy kerana perawi yang bernama Abdullah bin Lahi’ah daif.[3]

2.      Sanad Abdullah bin Abbas:
Terdapat beberapa jalur dari sanad Abdullah bin Abbas. Berikut merupakan jalur dari sanad beliau:

i.                    Jalur ‘Ata’ bin Abi Rabah: Isa bin Ibrahim meriwayatkan hadis ini dari Sulaiman bin Abi Sulaiman dari ‘Ata’ dari Ibn Abbas.[4]

Jalur ini terlalu daif kerana Sulaiman bin Abi Sulaiman dinilai matruk (perawi yang ditinggalkan oleh ulama riwayatnya kerana terlalu daif) oleh beberapa orang ulama hadis seperti Yahya bin Maien, Ali bin al-Madini dan al-Nasaie. Maka al-Zahabi memutuskan beliau matruk.[5]
Manakala Ibn ‘Adiyy menilai hadisnya tidak bermasalah jika perawi yang meriwayatkan darinya dipercayai.[6] Saya berpandanngan jika benar Sulaiman ini bukanlah terlalu daif seperti yang dinyatakan oleh Ibn ‘Adiyy, hadis tetap daif kerana beliau bersendiri dalam jalur ini ketika meriwayatkan dari ‘Ata’ bin Abi Rabah. 

ii.                  Jalur Muhammad bin Abbad bin Hafs: Khalaf bin Ayyub meriwayatkan dari Abdul Majid bin Suhail dari jalur Muhammad bin Abbad dari Abdullah bin Abbas. Riwayat ini disokong oleh riwayat al-Kalabazi dari Kharijah bin Musab yang juga meriwayatkan dari Abbdul Majid bin Suhail dari Muhammad bin Abbad dari jalur yang sama.[7]

Jalur ini daif kerana 2 sebab utama:
Pertama: Khalaf bin Ayyub dinilai daif oleh Yahya bin Maien dan Imam Ahmad.[8] Ibn Hibban pula menyatakan beliau seorang penganut mazhab Murjiah[9] yang melampau.[10]  Al-‘Uqaili pula menyatakan beliau selalu bersendiri dalam meriwayatkan hadis munkar dan menyandarkannya kepada riwayat Qais dan Auf.[11]

Kedua: Kharijah bin Musab juga daif. Bahkan majoriti ulama hadis semisal Abdullah bin al-Mubarak, Waki’ bin al-Jarrah, Imam Ahmad, Yahya bin Maien dan Ibn Hibban menyatakan beliau adalah perawi yang ditinggalkan (matruk). Ini bermakna hadisnya terlalu daif maka tidak boleh menyokong riwayat Khalaf bin Ayyub.[12] Tetapi Abu Hatim dan Ibn ‘Adiyy pula menyatakan beliau daif ringan.[13] Jika benar dia daif ringan sekalipun ia tidak menguatkan jalur ini kerana punca jalur ini iaitu Muhammad bin Abbad adalah perawi yang tidak dikenali.[14]
iii.                Jalur Ubaidullah bin Abdullah bin ‘Utbah: Mandal bin Ali meriwayatkan dari Abdul Majid bin Suhail dari Ubaidillah bin Abdullah bin ‘Utbah.[15] Jalur ini juga daif kerana terdapat perawi bernama Mandal bin Ali.

3.      Sanad Ibn Abi Labibah
Waki’ bin al-Jarrah meriwayatkan hadis ini dari jalur Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah dari ayahnya atau datuknya dari Nabi sallallah alaih wasallam.[16] Sanad ini juga daif kerana 2 kecacatan:

Pertama: Terdapat perawi yang bernama Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah. Beliau dinilai daif oleh Ibn Hajar.[17]

Kedua: sanadnya terputus kerana kedua-dua perawi ayah dan datuk Muhammad bin Abdul Rahman bin Abi Labibah tidak pernah berjumpa Nabi sallallah alaih wasallam. Maka sanad ini terputus.

Terdapat juga hadis dengan lafaz yang hampir sama dengan hadis ini. Cuma ia menyatakan bahawa Hasan dan Husain yang merupakan cucu baginda sallallah alaih wasallam adalah daripada bau-bauan Allah. Hadis ini dinilai daif oleh Imam Tirmizi kerana sanadnya terputus.[18]

Kesimpulan
Hadis ini daif kerana semuanya jalurnya tidak terlepas dari kedaifan dan kritikan ulama. Maka sebab itu ulama hadis semisal al-Haihami, al-Iraqi, dan al-Sakhawi menilai hadis ini sebagai daif.[19] Maka ia tidak boleh dijadikan hujah tambahan pula ia berkaitan perkara ghaib iaitu syurga. Tetapi menyayangi anak-anak itu adalah amalan terpuji dan ia fitrah manusia.

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
11 November 2014


[1] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil fi al-Dhu’afa’, jld. 6, hlm. 160
[2] Lihat: Ibid, Muhammad bin Tohir al-Maqdisi, Zakhirat al-Huffaz, jld. 2, hlm. 1112, no. hadis: 2364.
[3] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 4, hlm. 149.
[4] Riwayat Abu Nuaim dalam kitabnya Tabaqat al-Muhaddithin bi Asbahan, jld. 3, hlm. 173.
[5] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 2, hlm. 210.
[6] Lihat: Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 261.
[7] Lihat: Ibn Abi al-Dunya, al-‘Iyal, hlm. 397, no. hadis: 231, al-Albani, al-Silsilah al-Dha’ifah wa al-Maudhu’ah, jld. 5, hlm. 523, no. hadis: 2499.
[8] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. , 1, hlm. 659, Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 1, hlm. 1726.
[9] Murjiah ialah satu mazhab akidah yang terkeluar dari Ahli Sunnah wal Jamaah.
[10] Lihat: Ibn Hibban, al-Tsiqat, jld. 8, hlm. 228.
[11] Lihat: al-‘Uqaili, al-Dhu’afa, jld. 2, hlm. 24.
[12] Lihat: al-Zahabi, Mizan al-I’tidal, jld. 1, hlm. 625.
[13] Lihat: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 3, hlm. 375, Ibn ‘Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 57
[14] Lihat: al-Albani, al-Silsilah al-Dhaifah, jld. 5, hlm. 523, no. hadis: 2499.
[15]  Lihat: al-Tabarani, al-Mu’jam al-Wasit, jld. 6, hlm. 82, no. hadis: 5860, al-Baihaqi, Syu’ab al-Iman, jld. 7, hlm. 479, no. hadis: 11061.
[16] Lihat: Waqi’ bin al-Jarrah, al-Zuhd, hlm. 422.
[17] Lihat: Ibn Hajar, Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 493.
[18] Lihat: al-Tirmizi, al-Sunan, jld. 4, hlm. 317.
[19] Lihat: al-Haithami, Majma’ al-Zawaid, jld. 8, hlm. 78,  al-Iraqi, al-Mughni, jld. 1, hlm. 532, al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, jld. 1, hlm. 373

Sunday 2 November 2014

Malaikat Mendoakan Keampunan Bagi Penduduk Rumah Yang Menyimpan Madu?

Ramai yang bertanya saya tentang status hadis dalam gambar ini. Maka saya katakan hadis ini TERLALU DAIF. Berikut komentar ulama hadis terhadap status hadis ini:

1. Kata al-Ismaili: Hadis ini terlalu munkar. (Lihat: al-Suyuti, al-Laali al-Masnu'ah, jld. 2, hlm. 203)
2. Kata Ibn al-Jauzi: Hadis palsu dan (beberapa) perawinya tidak dikenali. (Lihat: al-Maudhu'at, jld. 3, hlm. 21)
3. Kata al-Zahabi: Hadis ini batil. (Lihat: Talkhis al-Maudhu'at, hlm. 255)

Apa kesalahan gambar ini? Ada dua kesalahan:

1. Sebar hadis terlalu daif tanpa menyatakan statusnya. Bahkan untuk melariskan produknya.

2. Sandarkan hadis ini kepada imam Bukhari dan Muslim. Sedangkan mereka tidak pernah meriwayatkan hadis ini dalam sahih mereka.

Kepada pembuat poster, bertaubatlah. Banyak lagi hadis sahih berkaitan kelebihan madu untuk digunakan dan dijadikan hujah. Tidak perlu menyebar hadis sebegini untuk melariskan jualan. Kepada yang dah share poster ini harap padam. Wallahua'lam

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
2 November 2014

Sunday 26 October 2014

Status Kisah Ukasyah Yang Ingin Memukul Nabi Sallallah Alaih Wasallam Sebelum Baginda Wafat

Saya sering kali ditanya tentang kisah Ukasyah yang kononnya ingin memukul Nabi sallallah alaih wasallam sebagai membalas balik (qisas) perbuatan Nabi sallallah alaih wasallam yang memukulnya. Saya lampirkan ceritanya seperti yang disebarkn dalam salah satu blog (walaupun kisahnya dalam hadis lebih panjang):

ABDULLAH bin Abbas bercerita: “Menjelang wafatnya Nabi saw, diperintahkannya Bilal unruk mengumandangkan azan. Para sahabat datang berduyun-duyun ke Masjid Nabawi memenuhi seruan azan itu, meskipun waktu solat belum tiba.
Nabi masuk ke dalam masjid dan melakukan solat sunat dua rakaat. Kemudian Baginda naik ke atas mimbar dan memulakan khutbahnya yang panjang. Baginda ucapkan puji-pujian kepada Allah Yang Maha Agung sehingga meniis air mata orang yang mengikutinya.
Kemudian, Baginda bersabda: “Ayyuhal Muslimun, aku adalah Nabi utusan Allah, pemberi nasihat dan pembawa kebenaran kepada kalian. Kedudukan aku diantara kalian bagaikan seorang saudara atau seorang ayah yang sangat kasih kepada anak-anaknya. Apabila ada diantara kalian yang merasa pernah dizalimi, ku harap dia mahu menuntutnya dariku di dunia ini sebelum datangnya tuntutan yang amat dasyat pada hari akhirat kelak.”
Berulang kali Nabi mengucapkan kata-katanya itu, tetapi tidak ada suara yang mahu menyahutnya. Siapa gerangan pengikut Nabi Muhammad yang merasa rela  menuntut Nabi saw. Semua sahabat diam termangu. Ada yang terisak-isak menangis menyaksikan ketulusan dan keadilan seorang pemimpin agung ini. Mereka tak dapat membayangkan betapa seorang pemimpin yang agung dan sudah berkorban segala-galanya demi umatnya, tiba-tiba pada akhir hayatnya dan dalam keadaan badan yang sudah lemah masih menegakkan keadilan seadil-adilnya meskipun terhadap dirinya sendiri.
Dalam suasana yang hening dan mencengkam seperti itu, tiba-tiba Akasyah bin Muhshin berdiri dan memecahkan kesunyian, “Aku ya Rasulullah yang akan mengajukan tuntutan padamu.”
Mendengar kata-kata Akasyah seperti itu, para sahabat yang duduk di sekitar Nabi merasa seakan-akan disambar petir yang maha dasyat. Mereka hairan. Kerongkong mereka tersumbat tidak dapat berbicara. Jantung mereka berdebar keras seperti ingin pecah. Suara tangis mereka saling bersahut-sahutan dengan suara tangis dinding-dinding Masjid Nabawi yang ikut menyaksikan peristiwa yang amat mendebarkan itu.
“Biarkan Akaasyah mengajukan tuntutannya padaku, “ kata Nabi menenangkannya hadirin. “Aku lebih bahagia apabila aku boleh menunaikannya di dunia ini sebelum tibanya hari Qiamat kelak. Wahai Akasyah, katakanlah apa yang pernah kulakukan terhadap dirimu sehingga engkau berhak membalas terhadap diriku.”
“Ya Rasulullah, peristiwa ini terjadi pada saat ghazwah Badar.” Kata Akasyah. “Waktu itu untaku berada di samping untamu. Aku turun dari untaku kerana ingin menghapirimu. Tiba-tiba Baginda angkat kayu penyebat unta Baginda dan kayu itu mengenai bahagian belakangku. Aku tidak tahu apakah Baginda lakukan itu dengan sengaja atau kerana ingin menyebat unta itu.”
“Wahai Akasyah, Rasul Allah tidak akan mungkin melakukan perbuatan seperti itu dengan sengaja. Tetapi bagaimanapun engkau mempunyai hak untuk membalasnya.” Jawab Rasulullah saw.
“Wahai Bilal, pergilah ke rumahFathimah puteriku dan ambil kayu itu di sana,” kata Rasulullah saw.
Bilal keluar dari masjid sambil menarik nafasnya panjang-panjang. Dia tidak tahu apa yang akan dikatakannya kepada puteri kesayangan Nabi saw. Fathimah pasti akan merasa terkejut sekali apabila diketahuinya bahawa ayah kesayangannya dituntut oleh salah seorang sahabatnya. Bukan menuntut harta, melainkan menuntut qisas denganmembalas sebatan nabi pada belakangnya. Itupun di saat-saat akhir hayatnya dan dalam keadaan badan Nabi yang sering sakit.
“Wahai Fathimah puteri Penghulu alam semesta,” kata Bilal setelah mengetuk pintu dan memberi salam kepada Fathimah. “Nabi meminta sebatang kayu yang dahulunya sering digunakannya untuk menyebat untanya.”
“Untuk apa wahai Bilal?” Tanya Fathimah ingin tahu.
“Nabi hendak memberikan kayu itu kepada seseorang yang mahu mengqisasnya (membalasnya),” jawab Bilal
“Wahai Bilal, apakah ada orang yang sanggup memukul Nabi dengan kayu itu?”
Tanpa menjawab, Bilal meninggaklkan rumah Fathimah sambil membawa kayu itu. Sesampainya di masjid, Bilal memberikan kayu itu kepada Rasulullah saw yang kemudiannya diberikan kepada Akasyah. Abu Bakar dan Umar menyaksikan kejadian itu dengan penuh keharuan. Mereka berkata: “Wahai Akasyah, kami mahu menjadi tebusan Nabi saw. Balaslah kami asal jangan engkau balas jasad Nabi saw.”
“Biarkanlah Akasyah wahai Abu Bakar dan Umar. Sungguh Allah Maha Tahu apa akan kedudukan kalian,” kata Nabi meyakinkan dua sahabat ini.
“Wahai Akasyah, jiwa ini tebusan untuk Nabi saw. Hatiku tidak dapat menerima apa yang akan engkau lakukan terhadap Nabi yang mulia ini. Ini belakangku dan tubuhku. Pukulllah aku dengan tanganmu dan sebatlah aku dengan segala kekuatannu,” kata Ali penuh kepiluan.
“Tidak Hai Ali,” kata Nabi. “Sungguh Allah Maha Tahu akan niat dan kedudukanmu.”
Hasan dan Husin, dua cucu Nabi yang sangat disayanginya kemudian berdiri dan berkata dengan suara pilu: “Wahai Akasyah, bukankah engkau tahu bahawa kami adalah cucu Rasulullah saw, darah dagingnya dan cahaya matanya. Mengambil qisas dari kami adalah sama dengan mengambil qisas dari Rasulullah saw.”
“Tidak hai Hasan dan Husin. Kalian adalah cahaya mata hatiku. Biarkanlah Akasyah melakukan apa yang ingin dilakukannya,” kata Nabi.
“Wahai Akasyah, pukullah aku apabila benar bahawa aku pernah memukulmu,” pinta Nabi kepada Akasyah.
Nabi membuka bajunya dan menelungkup bersiap sedia untuk diqisas oleh Akasyah. Para sahabat menangis penuh kesyahduan menyaksikan peristiwa itu. Tiba-tiba Akasyah membuang kayu yang digenggamnya, lalu memeluk dan meletakkan tubuhnya pada tubuh Rasulullah saw. Katanya: “Wahai junjunganku Rasulullah, jiwa ini adalah tebusanmu, hati siapa yang akan tergamak mengambil qisas darimu. Aku lakukan ini semata-mata berharap badan ini dapat bersentuhan dengan badanmu yang mulia. Dengannya kuharap Allah akan boleh memeliharaku dari sentuhan api neraka.”
Nabi kemudian bersabda: ‘Ketahuilah bahawa siapa yang ingin melihat penghuni syurga maka lihatlah Akasyah.”


Begitulah kisah yang disebarkan di alam maya. Cerita ini sangat meruntun dan menyayat hati kita. Cuma kita perlu bertanya adakah kisah ini sahih? Saya rasa biarlah ulama hadis yang menjawab tentang status hadis ini. Berikut ulasan ulama hadis terhadap kesahihan cerita ini:

1. Kata Ibn al-Jauzi (al-Mudhu'at, jld. 1, hlm. 301):

هذا حديث موضوع محال كافأ الله من وضعه وقبح من يشين الشريعة بمثل هذا التخليط البارد والكلام الذى لا يليق بالرسول صلى الله عليه وسلم ولا بالصحابة، والمتهم به عبد المنعم بن إدريس.

Hadis ini PALSU yang mustahil (berlaku). Moga Allah membalas kepada sesiapa yang mereka-rekanya dan (moga Allah) memburukkan sesiapa yang merosakkan Syariah dengan kekeliruan yang dingin dan kalam yang tidak layak bagi Nabi sallallah alaih wasallam dan tidak layak bagi sahabat.  Orang yang dituduh (memalsukan hadis ini) ialah Abdul Mun'im bin Idris.

2. Kata  al-Suyuti (al-Laali al-Masnu'ah, jld. 1, hlm. 257):
موضوع آفته عبد المنعم

Maksudnya: Hadis PALSU. Penyakitnya (pereka hadis ini) ialah Abdul Mun'im bin Idris.

3. Kata al-Haithami (Majma' al-Zawaid, jld. 8, hlm. 323):
رواه الطبراني وفيه عبد المنعم بن إدريس وهو كذاب وضاع

Maksudnya: (Hadis ini) riwayat al-Tabarani dan padanya (sanadnya) terdapat Abdul Mun'im bin Idris. Beliau pendusta dan pereka hadis.

Justeru, berhentilah menyebarkan cerita palsu ini. Cintakan Nabi sallallah alaih wasallam menyebabkan kita menjaga nama baginda dan hadis baginda dari pembohongan. Wallahua'lam.

Abu Muaz Rozaimi Ramle
26 Oktober 2014
Sweileh, Jordan

Thursday 18 September 2014

Status Hadis Syurga Bagi Sesiapa Bermimpi Jumpa Nabi Sallallah alaih Wasallam


Saya ditanya oleh beberapa rakan-rakan di FB berkaitan kenyataan ini. Mereka ingin tahu adakah ia hadis atau bukan dan jika ia hadis adakah ia sahih. Kenyataan ini tersebar di internet dan disandarkan kepada seorang ustaz selebriti yang masyhur. Saya tidak pasti samada adakah benar ia kenyataan ustaz tersebut atau tidak. Saya cuma ingin menyatakan status hadis ini semata kerana ia adalah amanah penuntut ilmu hadis.

Sebenarnya hadis ini diriwayatkan dari 2 jalur. Berikut keterangannya:

1. Jalur Pertama:

محمد بن مصفى ثنا يحيى بن سعيد عن سعيد بن ميسرة عن أنس قال قال رسول الله صلى الله عليه و سلم من رآني في المنام فإنه لا يدخل النار

Hadis ini riwayat Ibn 'Asakir dalam Tarikh al-Dimasyq dan al-Dailami. Riwayat ini TERLALU DAIF kerana:

1. Perawi bernama Said bin Maisarah. Beliau terlalu daif bahkan banyak meriwayatkan hadis munkar. Berikut komentar ulama hadis terhadap beliau:

- Yahya al-Qattan menganggap beliau pendusta.
- Kata al-Bukhari: Beliau mendengar dari Anas, beliau munkar al-hadith. 
- Kata Abu Hatim: Munkar al-Hadith, daif, beliau meriwayatkan dari Anas hadis-hadis munkar. 
- Kata Ibn Hibban: Dikatakan beliau tidak pernah berjumpa Anas dan beliau meriwayatkan dari Anas hadis-hadis palsu yang tidak menyerupai hadis Anas seolah-olah beliau meriwayatkan dari Anas dari Nabi sallallah alaih wasallam apa yang beliau dengar dari penglipurlara bercerita dalam cerita mereka.

(Lihat: al-Bukhari, al-Dhuafa' al-Saghir, hlm. 51, hlm. 516, Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 4, hlm. 63, Ibn Hibban, al-Majruhin, jld. 1, hlm. 353, Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 387, al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 2, hlm. 160)

2. Yahya bin Said al-Attar. Beliau juga daif di sisi majoriti ulama hadis semisal Yahya bin Maien, al-Uqaili, Ibn Khuzaimah, Ibn Adiyy, Ibn Hibban dan al-Daraqutni) 

Oleh itu, hadis ini dinilai oleh Ibn Adiyy sebagai tidak terpelihara (munkar). (Lihat: Ibn Adiyy, al-Kamil, jld. 3, hlm. 387)

2. Jalur kedua

وحدثنا أبو بكر بن محمد بن أحمد بن محمد الأصفهاني بمكة حرسها الله تعالى في المسجد الحرام قال حدثنا أبو الحسن محمد بن سهل عن محمد بن المصفى عن بكر بن سعيد عن سعيد بن قيس عن أبيه قال: قال رسول الله صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لن يدخل النار من رآني في المنام

3. Jalur ketiga

وأخبرنا أبو الحسن عبد الوهاب بن الحسن الكلابي بدمشق قال حدثني أبو أيوب سليمان بن محمد الخزاعي عن محمد بن المصفى الحمصي عن يحيى بن سعيد القطان عن سعيد بن مسلم عن أنس بن مالك أن النبي صلى الله عليه و سلم قال من رآني في المنام فلن يدخل النار 

Kedua-dua riwayat ini adalah riwayat pengarang kitab Tafsir al-Ahlam. (jld. 1, hlm 57). Setelah saya meneliti kedua-dua riwayat saya dapati bahawa riwayat ini tidak pernah disebut oleh ulama hadis mutaqaddimin dan mutaakhirin. Ibn Adiyy sebagai contoh tidak menyebut hadis ini mempunyai jalur lain selain dari jalur pertama, Begitu juga al-Zahabi dalam Mizan al-I'tidal dan al-Muttaqi al-Hindi dan Kanz al-'Ummal tidak menyebut jalur lain untuk hadis ini selain dari jalur pertama.

Panel fatwa islamweb berpendapat bahawa berlaku tashif dalam sanad jalur kedua dan ketiga. Jalur yang sebenarnya adalah jalur pertama. Manakala jalur kedua dan ketiga adalah kesilapan (tashif) ketika menukil nama-nama perawi. (Lihat: http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=15816)

Saya bersetuju dengan pandangan ini kerana beberapa perkara berikut:

1. Semua jalur ini bertemu pada perawi yang bernama Muhammad bin Musoffa. Beliau pula tidak mempunyai guru yang bernama Bakar bin Said.

2. Bentuk perkataan Bakar dan Yahya dalam tulisan arab amat hampir.

3. Bentuk perkataan al-'Attar dan al-Qattan dalam tulisan arab juga sangat hampir.

4. Bentuk perkataan Maisarah dan Muslim dalam tulisan arab juga lebih kurang sama.

Ini petunjuk yang menunjukkan berlaku tashif dalam sanad jalur kedua dan ketiga.

Kesimpulan

Tidak dinafikan bahawa mimpi bertemu Nabi sallallah alaih wasallam merupakan satu anugerah dari Allah yang amat berharga. Cuma kelebihan syurga bagi orang yang bermimpi tidak ada dalil yang sahih setakat kajian saya. Juga saya ingin berpesan kepada ustaz-ustaz dan tuan-tuan guru, janganlah terlalu banyak bercerita bab mimpi kerana kita ingin membangunkan umat bukan menggalakkan mereka banyak tidur. Berpadalah. Wallahua'lam.

Monday 15 September 2014

Status Hadis Kelebihan Memotong Kuku Pada Hari-hari Tertentu

Gambar Hiasan


Mungkin ramai yang tertanya-tanya tentang hadis yang menyatakan kelebihan memotong kuku pada hari-hari tertentu. Bahkan ramai juga yang bertanya saya tentang statusnya. Berdasarkan kajian saya maka dapat rumuskan bhawa hadis berkaitan isu ini diriwayatkan dari beberapa jalur berikut:

1. Jalur Abu Hurairah

Diriwayatkan dari Abu Hurairah dari 2 jalur:

- Jalur pertama dengan lafaz:

 " من قلم أظفاره يوم السبت خرج منه الداء ودخل فيه الشفاء، ومن قلم أظفاره يوم الاحد خرجت منه الفاقة
ودخل فيه الغنى، ومن قلم أظفاره يوم الاثنين خرجت منه العلة ودخلت فيه الصحة، ومن قلم أظفاره يوم الثلاثاء خرج منه البرص ودخل فيه العافية، ومن قلم أظفاره يوم الاربعاء خرج الوسواس والخوف ودخل فيه الامن والصحة، ومن قلم أظفاره يوم الخميس خرج منه الجذام ودخل فيه العافية، ومن قلم أظفاره يوم الجمعة دخلت فيه الرحمة وخرج منه الذنوب ".

Maksudnya: Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Sabtu maka akan keluar darinya penyakit dan masuk ke dalamnya penawar. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Ahad maka akan keluar darinya kemiskinan dan masuk ke dalamnya kekayaan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Isnin maka akan keluar darinya kecacatan dan masuk ke dalamnya kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Selasa maka kan keluar darinya penyakit sopak dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Rabu akan keluar darinya penyakit waswas dan ketakutan dan akan masuk ke dalamnya keamanan dan kesihatan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Khamis akan keluar darinnya penyakit kusta dan akan masuk ke dalamnya kesembuhan. Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka akan masuk ke dalamnya rahmat dan keluar darinya dosa-dosa.

Hadis ini PALSU. Berikut komentar ulama hadis terhadapnya:

Kata Ibn al-Jauzi:

هذا حديث موضوع على رسول الله صلى الله عليه وسلم، وهو من أفبح الموضوعات

Maksudnya: Hadis ini palsu ke atas Nabi sallallah alaih wasallam. Dan ia antara seburuk-buruk hadis palsu. (Rujuk: al-Maudhu'at, jld. 3, hlm. 53)

Kata al-Syaukani:

هو موضوع في إسناده وضاعان ومجاهيل فقبح الله الكذابين وقبح ألفاظهم الساقطة وكلماتهم الركيكة

Maksudnya: Hadis ini palsu. Pada sanadnya terdapat dua orang pendusta (iaitu Abu 'Ismah Nuh bin Abi Maryam dan Hannad). Semoga Allah memburukkan golongan pendusta dan memburukkan lafaz-lafaz mereka yang gugur dan kalimah-kalimah mereka yang jelek. (Rujuk: al-Fawaid al-Majmu'ah, hlm. 197)

- Jalur kedua dengan lafaz:

كان يقلم أظفاره، ويقص شاربه قبل أن يخرج إلى الجمعة.

Maksudnya: (Nabi sallallah alaih wasallam) memotong kuku dan memotong misainya sebelum keluar solat Jumaat.

Hadis ini daif kerana terdapat perawi yang bernama Ibrahim bin َQudamah al-Jumahi. Beliau tidak dikenali. Maka al-Bazzar dan Ibn Hajar menghukumnya daif. (Rujuk: al-Bazzar, al-Bahr al-Zakkhar, jld. 2, hlm. 424, Ibn Hajar, Fath al-Bari, jld. 10, hlm. 346)

2. Jalur Ibn Abbas:

طلحة بن عمرو عن عطاء عن ابن عباس أن النبي صلى الله عليه وسلم قال من قلم أظافيره يوم الجمعة قبل الصلاة أخرج الله منه كل داء وأدخل مكانه الشفاء والرحمة.

Maksudnya: Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka Allah akan mengeluarkan darinya semua penyakit dan memasukkan di tempat (penyakit itu) penawar dan rahmat.

Hadis ini terlalu lemah kerana terdapat perawi bernama Talhah bin 'Amr. Beliau dinilai matruk (terlalu daif sehingga riwayatnya ditinggalkan) oleh Ibn Hajar. (rujuk: Taqrib al-Tahzib, jld. 2, hlm. 283)

3. Jalur Aisyah:

حدثنا عبد الرحمن بن سلم قال حدثنا أحمد بن ثابت فرخويه الرازى قال حدثنا العلاء بن هلال الرقي قال حدثنا يزيد بن زريع عن ايوب عن بن ابي مليكة عن عائشة قالت قال رسول الله صلى الله عليه و سلم من قلم اظفاره يوم الجمعة وقى من السوء إلى مثلها

Maksudnya: Sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka dia dilindungi dari keburukan sehingga Jumaat berikutnya.

Hadis ini palsu kerana terdapat perawi pendusta yang bernama Ahmad bin Tsabit Farkhuyah. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 2, hlm. 44, al-Zahabi, Mizan al-I'tidal, jld. 1, hlm. 86)

4. Jalur Ibn Mas'ud:

Diriwayatkan dari Ibn Mas'ud melalui 2 jalur:

- Jalur al-Salih bin Bayan dari al-Mas'udi Ibn Hamid al-Himyari dari ayahnya dari Abdullah bin Mas'ud:

من قص اظفاره واحدّ من شاربه كل يوم جمعة ادخل الله فيه شفاء وأخرج منه داء


Maksudnya: Dikatakan sesiapa yang memotong kukunya dan menipiskan misainya pada setiap hari Jumaat maka Allah akan memasukkan ke dalamnya penawar dan mengeluarkan darinya penyakit.

Hadis ini terlalu daif kerana terdapat perawi yang bernama ٍSalih bin Bayan. Beliau perawi matruk (yang ditinggalkan riwayatnya) dan beliau bersendiri dalam riwayat ini. Oleh itu, al-Daraqutni menghukumnya sebagai terlalu daif. (Rujuk: Ibn al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiah, jld. 1, hlm. 461)

- Jalur Ali bin Asim dari al-Mas'udi dari Ibn Hamid al-Himyari dari ayahnya:

حدثنا محمد بن أحمد المروزي ، نا عاصم بن علي ، نا المسعودي ، عن ابن حميد الحميري ، عن أبيه ؛ قال: كان يقال : من قلم أظفاره يوم الجمعة ، أخرج الله تعالى منه داء وأدخل فيه شفاء

Maksudnya: Dikatakan sesiapa yang memotong kukunya pada hari Jumaat maka Allah akan mengeluarkan darinya penyakit dan memasukkan ke dalamnya penawar.

Riwayat ini daif kerana beberapa sebab:

i. Riwayat ini mursal kerana Hamid al-Himyari bukanlah sahabat. Beliau juga tidak menyandarkan lafaz ini kepada Nabi sallallah alaih wasallam maka ia bukanlah hujah.

ii. Terdapat perawi yang bernama al-Mas'udi. Beliau dihukum sebagai perawi yang nyanyuk di akhir hayatnya. Asim bin Ali pula sememangnya mendengar hadis dari al-Mas'udi selepas beliau ditimpa penyakit nyanyuk. (Rujuk: Ibn Rajab al-Hanbali, Syarah 'Ilal al-Tirmizi, jld. 2, hlm. 748)

5. Jalur Abu Jaafar al-Baqir

al-Baihaqi meriwayatkan dari jalur Abu Jaafar dengan lafaz:

كان رسول الله صلى الله عليه و سلم يستحب أن يأخذ من شاربه وأظفاره يوم الجمعة

Maksudnya: Nabi sallallah alaih wasallam suka memotong misainya dan kukunya pada hari Jumaat.

Hadis ini daif kerana ia mursal (sanadnya terputus). (Lihat: Ibn Hajar, Fath al-Bari, jld. 10, hlm. 346)

Kesimpulan

Maka jelas di sini tiada satu hadis pun yang sahih berkaitan kelebihan memotong kuku pada hari-hri tertentu. Fadhilat memotong pada hari tertentu itu tidak sahih dari mana-mana hadis. Kata al-Sakhawi:

لم يثبت في كيفيته، ولا في تعيين يوم له، عن النبي صلى الله عليه وسلم شيء

Maksudnya: Tidak sahih (dalam bab memotong kuku) satu hadis pun dari nabi sallallah alaih wasallam pada kaifiat (memotongnya) dan juga pada menentukan hari (memotongnya) (Rujuk: al-Sakhawi, al-Maqasid al-Hasanah, hlm. 489)

Namun, perbuatan memotong kuku ini adalah perkara fitrah yang dianjurkan oleh Islam. Potonglah kuku kerana Islam sentiasa menganjurkan kebersihan tambahan pula pada hari Jumaat orang Muslim berkumpul di masjid untuk mendengar khutbah. Oleh itu, sebahagian sahabat Nabi sallallah alaih wasallam dan sebahagian tabiin memotong kuku mereka pada hari Jumaat. (Rujuk: Ibn Rajab al-Hanbali, Fath al-Bari, jld. 8, hlm. 104)  Wallahu'alam

Abu Muaz Rozaimi Ramle
Sweileh, Jordan
2.22 petang
15 September 2014

Thursday 11 September 2014

Status Hadis Memberi Hutang Lebih Afdal Dari Bersedekah

Terlalu ramai yang bertanya saya tentang hadis ini:

"Pada malam Isra’ Mikraj, aku melihat tulisan di atas pintu syurga: “Pahala sedekah ialah 10 kali ganda dan pahala memberi hutang ialah 18 kali ganda”. Aku bertanya Jibril, “Kenapa memberi hutang lebih banyak pahalanya daripada sedekah?” Jawabnya, “Kerana orang yang meminta sedekah dalam keadaan meminta sedangkan dia mempunyai harta. Sedangkan orang yang meminta pinjaman tidak akan meminta pinjaman kecuali kerana sesuatu keperluan.”

Saya katakan:

1. Hadis ini terlalu daif kerana sebab-sebab berikut:

i. Terdapat seorang perawi bernama Khalid bin Yazid bin Abi Malik. Beliau dituduh sebagai pendusta oleh Yahya bin Maien. al-Nasaie menyatakan beliau tidak tsiqah (tidak boleh dipercayai). Manakala Imam Ahmad berkata: Tiada nilai.

ii. Manakala ayah kepada Khalid iaitu Yazid bin Abi Malik pula daif kerana lemah ingatannya.

Oleh itu beberapa ulama hadis semisal Ibn al-Jauzi dan al-'Iraqi menilai hadis ini tidak sahih bahkan terlalu daif. (Rujuk: Ibn al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiah, jld. 2, hlm. 602, al-'Iraqi, al-Mughni 'an Haml al-Asfar, jld.1 hlm. 427)

2. Terdapat satu lagi riwayat yang hampir sama maknanya dengan hadis ini. Ia diriwayatkan dari jalur Abu Umamah dengan lafaz:

دخل رجل الجنة، فرأى على بابها مكتوبا: الصدقة بعشر أمثالها، والقرض بثمانية عشر

Maksudnya: Seorang lelaki masuk ke dalam syurga dan mendapati ditulis di pintunya: (Pahala) sedekah diganda 10 manakala (pahala) memberi pinjaman digandakan 18 kali.

Hadis ini diriwayatkan oleh al-Qasim bin Abdul Rahman al-Dimasyqi dari Abu Umamah melalui 3 jalur:

i. Jalur pertama: Riwayat Ismail bin 'Ayyash dari 'Utbah bin Humaid dari al-Qasim. Jalur ini daif kerana:

- 'Utbah daif. Beliau dinilai daif oleh Imam Ahmad. Abu Hatim menilainya sebagai Salih al-Hadis. (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 6, hlm. 370) Tetapi ia bukanlah bermakna Abu Hatim menyatakan ia tsiqah kerana perkataan Salih al-Hadith di sisi Abu Hatim biasanya bermaksud perawi yang hadisnya tidak menjadi hujah (daif) cuma hadisnya ditulis dan boleh dinaiktarafkan dengan mutabaat (sokongan). (Rujuk: Ibn Abi Hatim, al-Jarh wa al-Taadil, jld. 2, hlm. 37)

- Ismail bin 'Ayyash yang meriwayatkan hadis ini dari 'Utbah juga daif kerana beliau daif jika meriwayatkan hadis dari guru yang bukan berasal dari negeri Syam. Dan 'Utbah berasal dari Basrah, Iraq bukan dari Syam. (Lihat: Ibn Rajab, Syarah "ilal al-Tirmizi, jld. 2, hlm. 773)

Walaupun al-Albani menilai hadis ini sebagai hasan kerana Ibn Hibban menyebutnya dalam kitab al-Tsiqat tetapi saya berpendapat hadis ini daif ringan kerana Imam Ahmad mendaifkan 'Utbah. Manakala pandangan Ibn Hibban sudah diketahui umum bahawa jika beliau semata menyebut nama perawi dalam kitab al-Tsiqat tanpa menyebut tsiqah secara jelas maka Ibn Hibban dikira sebagai bermudah-mudah dalam menilai tsiqah perawi. Maka pandangan Imam Ahmad lebih wajar untuk dipilih. Syeikhuna Syuaib al-Arnaut juga menilai hadis ini daif ketika mentahqiq Sunan Ibn Majah. Wallahua'lam

ii. Jalur kedua: Riwayat Maslamah bin Ali dari Yahya al-Zimari dari al-Qasim. Jalur ini terlalu daif kerana Maslamah ini terlalu daif. (Rujuk: Ibn al-Jauzi, al-'Ilal al-Mutanahiah, jld. 2, hlm. 601-602)

iii. Jalur ketiga: Riwayat Jaafar bin al-Zubair al-Hanafi dari al-Qasim. Riwayat ini juga terlalu daif kerana Jaafar dinilai matruk (perawi yang ditinggalkan hadisnya kerana terlalu daif) oleh Abu Hatim, Abu Zur'ah, al-Nasaie, al-Daraqutni dan ramai lagi. (Rujuk: Ibn Hajar, Tahzib al-Tahzib, jld. 7, hlm. 54-55)

Maka semua jalur hadis ini tidak sahih walaupun satu. Moga bermanfaat.

Tuesday 9 September 2014

Jawapan Kepada Shufiyyah al-Nuriyyah -Bahagian 4

Saya telah pun membaca jawapan balas saudari Shufiyyah al-Nuriyyah kepada artikel ke 4 saya. Setelah membaca artikel ke 4 ini saya menjadi teramat kecewa kerana tiada apa perkara baru yang beliau masukkan dalam artikel ini melainkan ulangan semata kepada artikel-artikel beliau sebelum ini. Jika ada maklumat yang baru pun, ia tiada kaitan langsung dengan fokus perbincangan saya dan beliau dalam isu jeliran lidah ini. Saya akan jawab semula artikel beliau ini memandangkan artikel beliau tidaklah begitu sarat dengan bukti kukuh. Sesiapa yang mahir ilmu ilal hadis berkemungkinan akan ketawa melihat mimik tulisan saudari Shufiyyah kerana bersungguh-sungguh memutar belitkan status umum seorang perawi soduq untuk membenarkan kesilapan yang beliau lakukan dalam riwayat berdasarkan bukti dan petunjuk yang kuat.

Berikut adalah jawapan balas saya kepada artikel terbaru beliau:

1. Kata Shufiyyah:

Penjelasan Ibn Rajab al-Hanbali tentang Muhammad bin ‘amr terlalu singkat dan ringkas, perlu adanya istiqra jarh dan ta’dil dari para ulama hadits lainnya. Dan saya telah sebutkan pada artikel sebelumnya, tidak sedikit para ulama jarh yang menta’dilnya secara muthlaq, bahkan Yahya bin Ma’in sendiri pun dalam riwayat yang lain mentautsiqnya. Kesimpulannya Muhammad bin ‘Amr ini shaduq, akan tetapi hafalannya sedikit kacau. Namun beliau tidak diikutkan dalam derajat perawi lemah (dhu’afaa). Beliau tengah-tengah antara perawi sahih dan perawi lemah. Dan perawi yang memilik status Shaduuq lahu awhaam, oleh para ulama hadits disepakati sebagai ihtijaj bukan istisyhad.

Al-Hafidz Ibnu Hajar mengatakan :

رواية الصدوق الذي لم يوصف بتمام الضبط والاتقان وهذا هو الحسن لذاته
“ Periwayatan perawi shaduq yang tidak disifati dengan dhabth dan itqan yang sempurna, maka haditsnya adalah hasan lidzaatih “.[1]

Bahkan ketika beliau mentakhrij dalam hadits—hadits yang ada di Misykah, ketika mengomentari Muhamamd bin ‘Amr, beliau mengatakan :

صدوق في حفظه شئ وحديثه في مرتبة الحسن لا ينحط الى الضعف
“ Ia Shaduq, di dalam hafalannya ada sedikit kekacauan dan haditsnya dalam martabat hasan yang tidak sampai dhaif “.

Saya jawab:

i. Ini adalah kenyataan berulang-ulang saudari Shufiyyah kepada saya dalam artikel-artikel sebelum ini dan saya tidak pasti sampai bila ia akan diulang. Ia bukan perkara baru. Saudari Shufiyyah seolah-olah mahu mempengaruhi pembaca bahawa saya menyalahi pandangan majoriti ulama yang menganggap Muhammad bin 'Amr sebagai soduq lahu awham (yang mempunyai kesilapan). 

ii. Pembaca yang teliti akan tahu bahawa cubaan saudari tidak berjaya. Tidakkah saudari tahu bahawa saya tidak pernah MENGHUKUM DAIF SEMUA RIWAYAT MUHAMMAD BIN 'AMR? Saya hanya menilai daif riwayat ini kerana jalur yang sahih bagi riwayat ini adalah mursal. Riwayat mausul Muhammad bin 'Amr adalah kesilapan beliau yang dibuktikan oleh bukti dan petunjuk selari dengan kalam Imam Ahmad dan kalam Yahya bin Maien dalam isu ini.

iii. Saudari Shufiyyah seboleh-boleh menukilkan kalam ulama yang menyatakan riwayat perawi soduq sebagai hasan. Saya tidak membantah pernyataan ini bahkan saya mengakuinya. Tetapi ia bukan secara mutlak seperti mana riwayat tsiqah tidak tidak disahihkan secara mutlak. Mana-mana riwayat tsiqah atau soduq yang terbukti dengan petunjuk dan bukti bahawa ia silap maka ia akan dihukum ma'lul atau mu'all (cacat). Rujuklah kitab 'Ilal al-Daraqutni dan Ilal Ibn Abi Hatim untuk lihat berapa banyak riwayat Muhammad bin 'Amr yang dihukum daif kerana berlaku kesilapan dalam riwayatnya. Saya sudah bawakan contohnya sebelum ini. Cuma saya tidak pasti mengapa begitu susah bagi anda untuk memahaminya. Adakah kerana anda sengaja buat-buat tidak faham atau ilmu 'ilal hadith ini terlalu besar untuk otak anda yang mungkin sedikit kecil. 

iv. Ya benar, sememangnya kita perlu melakukan istiqra (penelitian menyeluruh) terhadap riwayat-riwayat Muhammad bin 'Amr. Bukankah saya sudah memberi contoh riwayat Muhammad bin 'Amr yang ulama hadis daifkan? Adakah ia bukan penelitian menyeluruh dari ulama ilal hadith? Ataupun anda menganggap ulama semisal Abu Hatim, Abu Zur'ah dan al-Daraqutni adalah pelajar baru hadis yang hanya mahir berslogan tajdid?

v. Proses "Penelitian menyeluruh" pada saya bukan hanya sekadar teori penyedap artikel. Ia mesti berbukti. Itu beza saya dan anda. Saya membawa bukti dari ulama 'ilal ketika mendaifkan riwayat Muhammad bin Amr yang bercanggah. Manakala anda pula apabila bertemu kalam yang tidak menyokong pandangan anda seperti kalam imam Ahmad dan Yahya bin Maien maka anda tinggalkan begitu sahaja. Sehingga sekarang saya belum pernah baca ulasan anda terhadap kalam imam Ahmad. Ataupun Imam Ahmad juga pelajar baru di bidang hadis bagi anda?

2. Shufiyyah berkata lagi:
Oleh para ulama Ushul perawi semacam ini bisa diterima dan sifat ke-irsalannya tidak merusak haditsnya bahkan oleh imam Nawawi ini dikatakan sebagai pendapat jumhur ulama :

Bahkan imam an-Nawawi mengatakan :

إذا روي الحديث موصولا ومرسلا ، فالحكم للاتصال عند جمهور العلماء لأنها زيادة ثقة ، وهي مقبولة عند الجماهير
“ Jika suatu hadits diriwayatkan secara maushul dan mursal, maka hukumnya (ditetapkan) yang maushul menurut pendapat mayoritas ulama, kerana ia merupakan tambahan tsiqah, dan ini diterima menurut mayoritas ulama “.[2]

AL-Khaththabi juga mengatakan hal yang sama :
وهو الذي يقبله أكثر العلماء ويستعمله عامة الفقهاء
“ Inilah yang diterima oleh banyak ulama dan digunakan pada umumnya ahli fiqih “.

Saya jawab:

i. Saya letih dengan ulangan semacam ini. Sudah berapa bukti yang saya tunjukkan bahawa ulama hadis tidak meletakkan hukum umum untuk menerima hadis mausul apabila berlaku percanggahan antara mursal dan mausul dalam satu riwayat. Sebaliknya mereka melihat kepada bukti dan petunjuk. Demikianlah yang disebut oleh Ibn Rajab al-Hanbali, Ibn Hajar, al-Sakhawi, al-'Alaie dan ramai lagi. Apakah anda tidak pernah membuat rujukan kitab-kitab 'ilal semisal kitab al-'Ilal al-Kabir karya al-Tirmizi, 'Ilal Ibn Abi Hatim, 'Ilal al-Daraqutni dan seumpamanya sebelum membuat kesimpulan? Begitu mudah anda benarkan diri anda digelar sebagai penyelidik (ilmu hadith) tanpa membaca kitab-kitab penting sebegini atau memahaminya dengan baik? 

ii. Manakala kandungan kalam imam al-Nawawi itu dikiritik oleh ulama hadis yang datang kemudian daripadanya semisal Ibn Rajab al-Hanbali, Ibn Hajar, al-Sakhawi, al-'Alaie.

3. Shufiyyah berkata lagi:

Apatah lagi hadits Muhammad bin ‘Amr ini memiliki syawahid yang serupa dan semakna dengannya. Meskipun berbeza dalam lafadz, namun ia seruapa dan semakna yang menguatkan bahwa Nabi bergurau (bercanda) dengan budak kecil dengan cara mencium ataupun menjelirkan lidahnya, sama ada kepada Hasan ataupun Husain, semuanya berlaku. Maka menurut saya, hadits menjelirkan lidah ini hasan li ghairihi kerana ia dikuatkan dengan riwayat dari imam Bukhari yang semakna meskipun berbeda dalam lafadznya.

Saya jawab:

i. Berbeza dalam lafaz tetapi semakna? Ini ajaib. Bagaimana menjelirkan lidah semakna dengan mencium? Bagaimana satu riwayat menyebut menjelirkan lidah kepada Hasan tanpa menyebut Husain semakna dengan riwayat yang menyebut menjelirkan lidah kepada Husain tanpa menyebut Hasan? 

ii. Semuanya berlaku? Anda perlu bukti untuk ini kerana saya juga bisa saja mengatakan ia juga tidak mustahil untuk tidak berlaku.

4. Shufiyyah meneruskan perbincangan:

Kamu tidak profesional dalam menilai Ibn Hibban dan al-Hakim, seolah Ibnu Hibban jarh dan ta’dilnya patut ditolak secara muthaq. Imam al-Laknawi menepis tuduhan tasahul Ibnu Hibban.
وقد نسب بعضهم التساهل إلى ابن حبان، وقالوا: هو واسع الخطو في باب التوثيق، يوثق كثيراً ممن يستحق الجرح. وهو قول ضعيف
“ Sebagian ulama menisbatkan tasahul kepada Ibnu Hibban, dan mengatakan, “ Ibnu Hibban terlalu luas melangkah di dalam bab taustiq, ia mentautsiq banyak perawi yang seharusnya dijarh “, ini adalah ucapan lemah “.[3]
Imam al-Laknawi justru melemahkan ucapan pendapat yang menisbatkan tasahul kepada Ibnu Hibban.

Jika kita mau mengkaji lebih dalam, maka kita akan mendapati kebenaran ucapan al-Laknawi, karena dalam muqaddimah kitab ast-Tsiqaat : 1/13, Ibnu Hibban telah menjelaskan bahwa ada dua jenis pentaustiqan beliau yaitu yang pertama, perawi yang para ulama berikhtilaf (berbeda pendapat) dalam jarh dan ta’dilnya, jika sahih menurut beliau, maka beliau memasukannya ke dalam tsiqatnya, jika tidak, maka beliau memasukkannya ke dalam kitab al-Majruhinnya atau kitab beliau lainnya.

Kedua, perawi yang tidak diketahu jarh dan ta’dilnya, akan tetapi guru dan muridnya (perawi darinya) adalah orang tsiqah dan tidak datang dengan hadits mungkar, maka dia dinilai tsiqah oleh Ibnu Hibban. Dan Ibnu Hibban tidak menyendiri dengan kaidahnya ini sebagaimana telah saya jelaskan sebelumnya. Maka menisbatkan tasahul secara muthlaq terhadap Ibnu Hibban adalah suatu kekeliruan, karena yang dituduh tasahul oleh ulama adalah jenis pentaustiqan beliau yang kedua, adapun jenis pentaustiqan beliau yang pertama, maka sama dengan pentaustiqan para imam hadits lainnya, tidak berbeda.

Adapun al-Hakim, maka para ulama hadits senantiasa menukil tautsiq al-Hakim dan berpegang dengannya, kitab-kitab ulama hadits penuh dengan penukilan tautisq al-Hakim. Karena beliua seorang imam hadits di masanya, dan memiliki pengetahuan luas tentang jarh dan ta’dil serta illat-illat hadits. Sampai-sampai imam ad-Daruquthni mendahulukannya daripada guru-gurunya yang lainnya. Al-Hafidz Abu Hatim al-Abdawi mengatakan :
وسمعت مشيختنا يقولون : كان الشيخ أبو بكر بن إسحاق ، وأبو الوليد النيسابوري يرجعان إلى أبي عبد الله الحاكم في السؤال عن الجرح والتعديل ، وعلل الحديث ، وصحيحه ، وسقيمه
“Aku mendengar guru-guruku berkata, “ Syaikh Abu Bakar bin Ishaq dan Abul Walid an-Naisaburi merujuk kepada Abu Abdillah al-Hakim di dalam pertanyaan tentang jarh dan ta’dil, illat hadits, sahih dan cacatnya “.

Para ulama hadits memang sepakat tentang sikap tasahul imam al-Hakim, di antaranya :

Al-Hafidz Ibnu Shalah, beliau mengatakan :
أنه واسع الخطو في شرط الصحيح متساهل في القضاء به».
“ Al-Hakim berluas dalam melangkah di dalam pensyaratan sahih, dan bermudah-mudahan di dalam memtuskan kesahihan “[4]

Imam an-Nawawi :
الحاكم متساهل كما سبق بيانه مرارا
“ al-Hakim orang yang mutasahil sebagaimana penjelasan terdahulu berulang-ulang “[5]

Adz-Dzahabi mengatakan :

يصحح في مستدركه أحاديث ساقطة ويكثر من ذلك
“ Menilai sahih di dalam kitab mustadraknya beberapa ahdits yang gugur dan banyak sekali “[6]

Akan tetapi sikap tasahul al-Hakim adalah hanya khusus pada kitab al-Mustadrak beliau saja dan tidak pada yang lainnya, karena di saat beliau menulis al-Mustadrak usia beliau sudah menginjak 70 tahun ke atas dan beliau tidak sempat mengkaji keseluruhannya karena telah didahului oleh ajal beliau. Sebagaimana disebutkan oleh al-Laknawi :

وكم من حديث حكم عليه الحاكم بالصحة وتعقبه الذهبي بكونه ضعيفا أو موضوعا: فلا يعتمد على المستدرك للحاكم ما لم يطالع معه مختصره للذهبي
“ Berapa banyak hadits yang dinilai sahih oleh al-Hakim lalu dikomentari oleh adz-Dzhahabi dengan dhaif atau maudhu’, maka tidak dipegang kitab al-Mustadrak al-Hakim semenjak tidak mempelajari bersamanya kitab mukhtahsahrnya karya adz-Dzahabi “[7]

Saya jawab:

i. Saya tidak professional? Atau anda yang mempunyai berakal sederhana laju? Saya menukilkan kalam Ibn Hajar di dua tempat dalam al-Nukat. Itu bukan pandangan saya, ia adalah pandangan Ibn Hajar terhadap Ibn Hibban. Adakah anda cuba untuk menyatakan Ibn Hajar tidak profesional? Amat biadap sekali! Apakah anda sudah menjadi wahabi sehingga tidak hormat kepada ulama ahli sunnah sehebat Ibn Hajar?!

ii. Ini kerana saya membincangkan metod Ibn Hibban dalam mensahihkan hadis tanpa melihat kepada illah (cacat) tersembunyi. Ia adalah hasil penelitian Ibn Hajar. Anda pula bawakan kalam al-Laknawi dalam isu pandangan Ibn Hibban dalam al-Jarh wa al-Ta'dil (menilai perawi). Apa kaitan antara keduanya? Saya berbincang dalam isu lain sedang anda pula terpekik-pekik di lembah yang lain. Saya cadangkan anda fahami betul-betul perbezaan antara keduanya. 

iii. Kemudian anda terlalu berbincang panjang tentang al-Hakim. Saya tidak pasti apa kaitannya kerana kita tidak berbincang tentang al-Hakim dalam artikel yang lepas. Mungkin anda bawakan nukilan-nukilan tentang al-Hakim sekadar untuk memnajangkan artikel ke 4 sahaja barangkali. Maafkan saya jika telahan saya salah.

5.  Shufiyyah berkata:

Dalam isu hadits menjelirkan lidah ini, di mana letak syadznya ?? ziyadah sanad oleh Muhammad bin ‘Amr dikuatkan dalam sahih Bukhari dalam isu hadits yang sama melalui jalur az-Zuhri meskipun lafadznya berbeda (antara mencium dan menjelirkan lidah) namun ia menjadi qarinah bagi hadits Muhammad bin ‘Amr ini.

Imam Bukhari meriwayatkan :

حَدَّثَنَا أَبُو الْيَمَانِ أَخْبَرَنَا شُعَيْبٌ عَنْ الزُّهْرِيِّ حَدَّثَنَا أَبُو سَلَمَةَ بْنُ عَبْدِ الرَّحْمَنِ أَنَّ أَبَا هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ قَبَّلَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْحَسَنَ بْنَ عَلِيٍّ وَعِنْدَهُ الْأَقْرَعُ بْنُ حَابِسٍ التَّمِيمِيُّ جَالِسًا فَقَالَ الْأَقْرَعُ إِنَّ لِي عَشَرَةً مِنْ الْوَلَدِ مَا قَبَّلْتُ مِنْهُمْ أَحَدًا فَنَظَرَ إِلَيْهِ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَالَ مَنْ لَا يَرْحَمُ لَا يُرْحَمُ

Riwayat ini melalui jalur az-Zuhri, dan ini menunjukkan makhraj haditsnya tidak hanya satu melainkan lebih dari satu. Meskipun matan hadits tidak menyebutkan nabi menjelirkan lidah, namun syahid ini semisal atau semakna dengan hadits menjelirkan lidah “. Bisa saja kemungkinan terjadi dua perkara tersebut, Nabi mencium dan Nabi menjelirkan lidah kepada Hasan. Ini tidaklah mustahil.

Saya jawab:

i. Ini lagi lucu. Sememangnya pertanyaan anda: "di mana syadznya?" menunjukkan jauhnya anda dari berinteraksi dengan kalam-kalam ulama 'ilal. 

ii. Tidakkah anda tahu bahawa ulama hadis menganggap apa sahaja pertambahan dalam riwayat yang mengubah hukum (samada pada sanad atau matan) maka ia dikira percanggahan yang perlu diselesaikan berdasarkan bukti dan petunjuk? Anda pula senang-senang nak kata ia semakna dan saling kuat-menguatkan. 

iii. Saya tidak pasti, mungkin saja dalam bahasa Indonesia tidak ada beza antara perkataan menjelirkan lidah dan mencium tetapi dalam bahasa Malaysia dan bahasa arab amat berbeza. Maka perbezaan ini perlu dirungkaikan.

6. Shufiyyah menyatakan lagi:

Hafidz Ibnu Hajar mengomentari hadits tersebut sebagai berikut :

 ووقع نحو ذلك لعيينة بن حصن، أخرجه أبو يعلى بسند رجاله ثقات إلى أبي هريرة قال: دخل عيينة بن حصن على رسول الله صلى الله عليه وسلم .ووقع في رواية الإسماعيلي عن هشام بن عروة عن أبيه قوله: “جاء أعرابي يحتمل أن يكون الأقرع بن حابس ويحتمل أن يكون قيس بن عاصم التميمي ثم السعدي… ويحتمل أن يكون وقع ذلك لجميعهم
“ Dan berlaku pula hal itu kepada Uyainah bin Hishn, dikeluarkan oleh Abu Ya’la dengan sanad yang tsiqah dari Abu Hurairah, ia berkata, “ Uyainah bin Hishn datang kepada Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam “. Dan berlaku juga dalam riwayat al-Ismai’ili dari hisyam bin Urwah dari ayahnya. Ucapannya : “ Telah datang seorang pelosok desa “, dimungkinkan ia adalah al-Aqra’ bin Habis, dan dimungkinkan juga ia adalah Qais bin ‘Ashim at-Tamimi; as-Sa’di….(kemudian Ibn Hajar mengatakan), “ Dan dimungkinkan hal itu berlaku pula kepada semuanya…”[8]

Dari komentar al-Hafidz Ibnu Hajar dipahami bahwasanya boleh saja peristiwa itu berlaku kepada para sahabat yang telah disebutkan nama-namanya dalam riwayat sahih di atas dan hal ini tidaklah mustahil. Saya yakin anda akan membantah huraian ini, itu terpulang kepada anda, kami tetap meyakini hadits menjelirkan lidah adalah Hasan lighairihi bukan dhaif. Jika anda masih tetap mengatakan hadits ini dhaif, silahkan saja kerana itu haq anda. Terlebih anda mengakui amalan menjelirkan lidah ini boleh diamalkan kerana tidak termasuk dalam isu hukum hakam dan akidah. Dan sungguh sangat banyak hadits-hadits sahih yang tidak diabadikan oleh imam Bukhari dalam sahihnya, sebab beliau memang tidak menulis semua hadits sahih yang dihafalnya, boleh saja ada hadits-hadits mutaba’at dan syawahid yang tidak tertulis atau tercetak dalam satu buku hadits. tentunya al-Iraqi dan Ibnu Hibban menilai hadits ini maqbul sesuai metode yang mereka pegang. Wa Allahu A’lam.
 
Saya jawab:

i. Di mana Ibn Hajar mensabitkan Nabi sallallah alaih wasallam menjelirkan lidahnya kepada cucunya?

ii. Riwayat Abu Ya'la yang dimaksudkan oleh Ibn Hajar juga menyebutkan Nabi sallallah alaih wasallam mencium kedua cucunya. Bukan menjelirkan lidahnya. Ada beza antara kedua itu wahai ustazah penyelidik.

iii. Manakala pandangan Ibn Hajar yang menyatakan ia berlaku kepada Aqra' bin Habis dan 'Uyaynah bin Hisn bercanggah pula dengan pandangan al-Khatib al-Baghdadi. Beliau pula menganggapnya sebagai percanggahan. Rujuk artikel yang lepas untuk perbahasan lanjut.  

iv. Saya tidak menerima alasan "tidak mustahil" anda. Kerana saya juga mempunyai alasan tidak "mustahil" untuk ia tidak berlaku. 

iv. Alhamdulillah akhirnya anda sendiri akui bahawa isu ini isu khilaf. Dari awal lagi saya nyatakan bahawa pendirian saya bahawa isu ini bukanlah isu akidah yang perlu sehingga gabungan tenaga anda dan al-Katibi untuk menghentam saya. Saya sendiri nyatakan dalam artikel yang pertama saya bahawa walaupun hadis jeliran lidah ini tidak sabit dari Nabi sallallah alaih wasallam tetapi ia adalah perkara yang tidak dilarang untuk dilakukan. Tambahan pula jika dilakukan bertujuan untuk bergurau dengan kanak-kanak.

Wallahua'lam.